Oleh: USTAZ AZHAR TUARNO
Hari ini ramai hadir ke masjid dan surau bersama dengan telefon bimbit
masing-masing. Masalah yang ingin saya ke utarakan ini agak kecil tetapi
amat mengganggu jemaah iaitu bunyi telefon bimbit saat sedang bersolat.
Bolehkah ustaz mengulas sedikit mengenai isu ini?
Kiriman :-
Haji Abdullah
Kuala Lumpur
JAWAPAN:
Isu pada kali ini adalah mengenai bunyi telefon bimbit ketika solat.
Sebenarnya bunyi deringan telefon bimbit ketika solat adalah di antara
perkara yang mengganggu solat dan mengganggu ketenangan dan kekhusyukan
serta fokus dalam solat. Tidak kira sama ada kita solat bersendirian
ataupun berjemaah.
Kalau kita solat bersendirian ia akan mengganggu solat kita tetapi kalau solat berjemaah ia akan mengganggu solat ramai orang.
Beberapa perkara perlu diberikan perhatian kerana telefon bimbit adalah
teknologi baru dan tiada hukum yang disebut secara jelas dalam al-Quran
dan Hadis tetapi ada hukum tentang mengganggu orang yang sedang solat.
Kalau kita perhatikan di pintu-pintu dan dinding masjid tertera poster
atau peringatan tentang perlunya mematikan telefon bimbit. Jika kita
solat bersendirian adalah perlu untuk mematikan telefon terlebih dahulu
atau letakkan ia dalam nada senyap. Biasakan dengan tindakan ini. Lama
kelamaan ia akan menjadi kebiasaan.
Kita perlu ingat bahawa tiada perkara yang lebih penting selain
daripada solat kita. Sebab itulah apabila solat hendaklah memilih tempat
dan keadaan yang amat sesuai untuk solat.
Tetapi bila kita telah memilih tempat solat yang tenang kita diganggu
oleh bunyi telefon kita sendiri, ia akan mengurangkan fokus dan
kekhusyukan kita dalam solat dan apabila ia berterusan dalam masa yang
lama maka hilang teruslah fokus kita dalam solat.
Berdosa kerana ganggu solat
Apabila kita solat berjemaah maka akan lebih ramai orang yang akan
terganggu dengan bunyi telefon bimbit kita. Hukum mengganggu orang yang
bersolat adalah haram. Ini berdasarkan hasid Nabi s.a.w yang bermaksud :
“Barang siapa yang makan bawang putih, maka jauhilah masjid-masjid kami”:- Hadis riwayat Al Bukhari
Dalam hadis ini larangan nabi bukannya bunyi tetapi adalah bau mulut
yang boleh mengganggu orang lain. Kalau bau mulut pun dilarang masuk ke
masjid apa lagi kalau bunyi. Malah bacaan al-Quran yang kuat juga
dianggap mengganggu para jemaah.
Sabda Nabi s.a.w; “Setiap kamu hendaklah bertutur secara peribadi
dengan tuhan Mu justeru janganlah mengganggu orang lain orang lain
dengan meninggikan suaranya semasa membaca al-Quran”:- Riwayat Al
Bukhari.
Ini bermaksud semua aktiviti yang mengganggu jemaah dalam solat adalah
dilarang, walaupun jemaah itu membaca al-Quran dengan suara yang kuat
kerana boleh mengganggu orang lain.
Apabila telefon bimbit kita berbunyi maka wajiblah mematikannya dengan
segera. Persoalannya, bolehkah mematikan telefon bimbit dalam solat?
Jawabnya boleh asalkan mematuhi peraturan dalam fikah. Jika dalam mazhab
Syafie tidak boleh bergerak dua kali berturut-turut.
Usahakanlah supaya dapat mematikan telefon bimbit kerana jika kita
mengganggu orang dalam solat maka berdosalah kita, sedang solat
mendatangkan pahala.
Nasihat saya kepada para imam juga seharusnya memperingatkan kepada
para jemaah supaya mematikan terlebih dahulu telefon bimbit mereka
sebelum solat. Ini adalah untuk kebaikan semua kerana barang kali ada
jemaah yang terlupa mematikan telefon bimbit mereka.
Satu lagi peringatan kepada para imam pula janganlah membawa telefon
bimbit ketika bertugas menjadi imam atau bilal yang bertugas kerana
amatlah memalukan apabila telefon kita yang berbunyi. Sebaiknya kepada
para imam dan bilal tidak membawa telefon bimbit ketika bertugas sebagai
imam dan bilal.
Satu lagi pandangan penulis mengenai telefon bimbit ini ialah mengenai
nada bunyi ada lagunya. Saya mendengar ada bunyi azan dan ada yang
mengalun-alunkan selawat dan ayat-ayat al-Quran rasanya amat menarik
sekali. Tetapi pada pandangan penulis ada juga masalahnya. Kerana
kadang-kadang terlupa membawanya ke tandas.
Pernah penulis mendengar selawat azan dan ayat al-Quran di dalam di
tandas. Rasanya ia juga amat tidak sesuai. Sebenarnya lagu dan nada
bunyi tidak menjadi masalah tetapi masalah apabila i berbunyi di dalam
tandas.
Kadang-kadang kita rasanya ia tidak menjadi apa-apa persoalan tetapi kepada sebahagian orang amat mengganggu sekali.
Marilah sama-sama kita menjadi orang yang prihatin kepada keadaan
sekeliling agar perbuatan kita sesuai dan kena pada tempatnya. Dengan
itu kita dapat menjaga kehormatan orang lain dan yang lebih penting
supaya kita dapat menjaga kehormatan dan kesucian masjid.